Tuesday, June 9, 2009

Mabuk Estrogen... make me wonder

frizz bkan untuk perempuan sahaja...

Saya bukannya berbogel! - Fizz


SEJAUH mana hangatnya babak bercium antara Fizz Fairuz dan Roslan Shah dalam Mabuk Estrogen?


APABILA pelakon perempuan memegang watak tomboi, peminat filem atau drama tempatan boleh menerimanya dengan penuh terbuka. Namun, berbeza pula penerimaannya apabila pelakon lelaki memegang watak perempuan, mak nyah atau lelaki homoseksual (gay).

Sungguhpun apa yang ditampilkan sekadar lakonan semata-mata dan langsung tiada kaitan dengan kehidupan sebenar pelakon yang melakonkan watak sebegitu, namun mereka tetap menerima tempiasnya.

Terutama jika watak yang dilakonkan cukup berkesan, pasti ada sahaja mata yang memandang serong terhadap pelakon itu, walhal mereka hanya cuba menguji kemampuan bakat lakonan yang dimiliki.

Sama juga hal yang berlaku terhadap pelakon Fizz Fairuz. Dia biasa memegang watak antagonis dan serius serta penuh sifat maskulin dalam setiap drama serta filem lakonannya.

Namun, disebabkan mahukan pembaharuan, Fizz menerima lamaran Sheila Rusly dan suami Sheila, Jinggo selaku pengarah telefilem berjudul Mabuk Estrogen.

Menerusi telefilem tersebut, Fizz bukan memegang watak lelaki lembut ataupun mak nyah tetapi dia dicintai oleh lelaki lembut atau dalam bahasa mudah dia dipancing untuk bercinta sesama jenis.

Apa yang menariknya, terdapat beberapa adegan 'panas' dalam telefilem yang akan ditayangkan pada 17 April depan di Astro Ria, antaranya adegan Awang, lakonan Fizz menyelamatkan Vee yang dilakonkan oleh Roslan Shah daripada lemas dalam tasik.

Khabarnya bagi menghidupkan babak tersebut mengikut kehendak skrip Mabuk Estrogen, Fizz dan Roslan sanggup berkucupan. Benar atau tidak perkhabaran itu, ikuti temu bual antara Fizz dan Kosmo! baru-baru ini.

Ceritakan sedikit mengenai telefilem Mabuk Estrogen?

FIZZ FAIRUZ: Ia mengisahkan kehidupan tiga orang perempuan yang masing-masing dilakonkan oleh Sheila Rusly, Memey dan Noraliah Lee. Watak lakonan Sheila Rusly digambarkan sebagai memiliki masalah dengan suaminya. Watak yang dibawakan Memey pula bermasalah dengan suami orang, dan watak lakonan Noraliah Lee merupakan seorang wanita yang takut dengan lelaki. Saya pula menghidupkan watak seorang renjer yang bekerja di sebuah hutan simpan dan kebetulan seorang tetamu bernama Vee (Roslan Shah) bercuti di resort tempat saya bekerja dan dia kemudian jatuh cinta pada saya.

Maknanya berlaku cinta terlarang?

Ya, kiranya cinta sejenis. Tetapi dalam cerita ini saya lelaki tulen dan cuba mengelak daripada digoda oleh Vee.

Dengar cerita ada beberapa adegan panas seperti berkucupan, betul ke?

Bukan berkucupan, mana ada. Sebenarnya itu adegan saya selamatkan Vee daripada lemas dan perlu melakukan teknik bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR). Ia suatu prosedur biasa kalau orang lemas, kenalah selamatkan dan kalau perlu, CPR dilakukan. Itu bukan berkucupan atau berciuman, tetapi ia hanyalah prosedur menyelamat.

Tidak takut ke nanti orang labelkan Fizz sebagai lelaki homoseksual selepas melakonkan watak Awang?

Tidaklah, saya bukan macam itu (homoseksual) buat apa nak takut. Memanglah cerita ini (Mabuk Estrogen) agak kontroversi tetapi saya melakonkan watak mengikut skrip sahaja. Watak saya pun lelaki tulen, bukannya lelaki homoseksual.


FIZZ menerima tawaran yang diberikan Sheila untuk membintangi Mabuk Estrogen atas dasar mahu mencuba watak yang berlainan dan mencabar kredibiliti lakonannya.


Sudah bersedia dengan kontroversi yang bakal timbul nanti?

Memang telefilem ini ada sedikit kontroversi di bahagian akhir. Rasanya saya sudah sedia. Saya bukan buat salah pun. Kita bukannya hidup di negara Barat dan saya bukannya berbogel atau melanggar batasan. Ia hanya satu karakter yang terlalu menarik untuk saya tolak. Watak saya bukannya jatuh cinta pada lelaki tetapi lama dia kasihan pula pada lelaki yang asyik mengejar cintanya.

Mungkinkah Fizz berlakon telefilem ini untuk cepat glamor?

Populariti di mana-mana pun boleh dapat. Itu hanya pandangan masyarakat, pada saya berani buat berani tanggung. Ia bukan soal populariti tetapi kepelbagaian dalam lakonan. Kalau selepas ini orang buat tohmahan saya tidak kisah, saya cuma nak tahu maklum balas penonton saja. Boleh ke mereka terima watak baru saya ini?

Misalnya selepas ini orang tawarkan watak lelaki homoseksual atau mak nyah, Fizz terima ke?

Kalau dapat watak lelaki homoseksual atau lelaki lembut, saya mungkin terima jika watak itu tidak keterlaluan dan masih berada di landasan yang betul.

Apa yang Fizz dapat (pengajaran) selepas berlakon dalam Mabuk Estrogen?

Kalau melebih-lebih sampai tukar jantina, meninggal dunia nanti apa jadi? Telefilem ini bukan sekadar hiburan tetapi penuh dengan unsur pengajaran, bukan nak kata golongan homoseksual ini jahat tetapi ia terpulang pada diri masing-masing. Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang pelakon.

Pandangan peribadi Fizz sendiri tentang golongan homoseksual ini?

Pada saya tidak ada masalah. Itu atas diri masing-masing, lagi pun mereka bukannya jahat, malah kebanyakan mereka mempunyai kerjaya yang bagus. Cuma cara hidup mereka berbeza.

0 comments:


Free Blogspot Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Dresses. Powered by Blogger